Wednesday, April 15, 2009

Pn. Hjh Zawiah bt. Ali

Dilahirkan pada 27.07.1928. Ayahnya bernama Ali bin Jenang Saat dan ibunya Hawa bt. Mohd Noh. Ibu merupakan anak sulung daripada lapan orang adik beradik. Tidak pernah bersekolah, hanya dilatih untuk masak-memasak dan menguruskan rumah.

Berkahwin dengan ayahku Abd. Ghani bin Abd. Rahman pada usia 14 tahun. Mereka adalah sepupu. Ibu ayahku Pn. Saodah bt. Jenang Saat adalah kakak kepada Ali bin Jenang Saat. Menurut ibu ketika berkahwin, tentera Jepun sudah menguasai Tanah Melayu. Ibu hanya sempat tinggal di 'barrack' jalan Dagang selama seminggu. Selepas itu, ibu dan keluarga mertanya melarikan diri ke Bukit Pasir. Sewaktu itu, askar jepun telah sampai ke Batu Pahat dan menjadikan Sekolah Tinggh (High School) di Jalan Dagang sebagai markasnya.

Setelah keadaan pulih, ibu dan ayah sekeluarga beralih semula ke 'barrack' di Jalan Dagang. Pepatah ada mengatakan 'kapal pecah, yu yang kenyang' Setibanya mereka di rumah, mereka dapati semua perlalatan di rumah termasuk katil dan almari telah hilang lesap yang tinggal hanyalah batu giling. Mungkin si Pencuri terlepas pandang. Dan batu giling itu masih lagi ada hingga ke hari ini.

Ibu pernah mengalami peristiwa cemas sewaktu pendudukan Jepun. Pada masa itu bulan puasa. Ibu turun ke dapur untuk menyiapkan makanan untuk bersahur. Tiba-tiba muncul seorang askar Jepun memeluk ibu erat dan hendak membawanya lari. Tok Saodah menjerit sekuat hati memanggil Ayah. Ayah datang sebagai wira dan berjaya menarik ibu dari askar Jepun tadi. Askar Jepun bertindak mahu menagkap ayah pula. Suasana pagi menjadi kecoh. Mujurlah ketua askar Jepun itu terdengar akan kekecohan itu lalu datang menyiasat. Beliau terus membelasah askar tadi, Tuhan sahaja yang tah. menurut cerita, Sekolah Tinggh banyak menyaksikan pembunuhan dan penyeksaan ngeri ke atas askar-askar bangsa Australia dan juga ke atas askar Jepun sendiri yang melanggar peraturan.

Pendapatan ayah sebagai seorang posmen di Pejabat Pos tidaklah seberapa. Nasib baik ibu dan Tok Saodah pandai seni tekad. Hasil seni tekat dijual di Pasar Melayu di kedai Tuan Hj. Abd. Rahman. Selain daripada menekat ibu turut mengambil upah menjahit baju kurung lelaki dan perempuan. Upah menjahit hanya $1 sepasang. Kadangkala ibu dan Tok Saodah menjual kuih Apam Beras dan Putu Piring untuk menambah pendapatan. Selain dari itu, Tok Saodah dapat bekalan gula hasil dia mengajar kelas Al-Quran. Berkat usaha gigih ibu dan Tok Saodah dapatlah kami 6 beradik hidup selesa-cukup makan, cukup pakai, Kami cukup bahagia.

Awan mendung mula memayungi kami sekeluarga pada tahun 1959 dengan kepulangan Ayah ke Rahmatullah. Ibu mematuhi pesanan Ayah untuk terus menyekolahkan anak-anak walau sesukar mana keadaanya. Tahun 1960-1963 merupakan tahun derita bagi kami sekeluarga tapi Ibu tabah mengharungi segalanya. Memerah keringat dari pagi hingga malam, memekakkan telinga pada segala fitnah dan cemuhan. Alhamdulillah, berkat usaha Ibu yang ikhlas, tak kenal putus asa, tak patah semangat, bertawakal pada Allah, usahanya membuahkan hasil. Kini kami mampu menyinari hidup Ibu.

Kini, dalam meniti usia 82 tahun (penglihatannya sudah kabur dan telinganya kurang pendengaran), old and feeble, bongkok tig. Ibu menghabiskan sisa hidupnya dengan 6 orang anak, 9 orang cucu dana seorang cicit. Tahun ini (2009) genap 50 tahun pemergiaan ayah. Cinta dan kasih sayang Ibu pada Ayah tidak pernah padam. Setiap kali kami menyebut Ayah, akan bergenanglah matanya dan berguguran manik-manik putih dari kelopak matanya.

Semoga Tuhan merahmati usia tua ibuku.

1 comment:

  1. sayang atok.
    even atok tak dapat baca apa yang ditulis tapi deep inside as cucu we are proud of you and love you so much

    ReplyDelete